:
PENGENALAN


Pusat Pendidikan Aman ialah rangkaian institusi pendidikan swasta untuk murid seawal usia satu tahun sehingga tamat Sijil Pelajaran Malaysia. Pusat Pendidikan Aman dimiliki oleh Pendidikan Aman Sdn Bhd, sebuah entiti yang diperbadankan di bawah Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dengan nombor pendaftaran 199801017342 (473471-U). Pada masa yang sama, Pusat Pendidikan Aman juga bernaung di bawah rangkaian Pendidikan IKRAM Musleh Berhad (No Pendaftaran SSM: 513402-W). Setakat September 2022, rangkaian IKRAM Musleh telah dianggotai oleh 57 buah tadika, 38 buah sekolah rendah dan 18 buah sekolah menengah.

Sejarah Pusat Pendidikan Aman bermula dengan penubuhan Tadika Iman pada tahun 1989. Untuk meneruskan matlamat penubuhan Tadika Iman, Sekolah Rendah Islam Aman telah ditubuhkan pada tahun 1991 dan Sekolah Menengah Islam Aman pula ditubuhkan pada tahun 1997. Pada tahun 1999, ketiga-tiga institusi pendidikan berkenaan digabungkan sebagai satu rangkaian yang diberikan nama Pusat Pendidikan Aman. Pada masa ini, rangkaian Pusat Pendidikan Aman adalah terdiri daripada sebuah taska, dua buah tadika, tiga buah sekolah rendah, sebuah sekolah menengah dan sebuah maahad tahfiz.

Jawatankuasa Pendidikan IKRAM Negeri Kelantan (JKPINK) adalah badan yang diamanahkan untuk membuat dasar dan polisi berkaitan Pusat Pendidikan Aman. Pengurusan Pusat Pendidikan Aman pula diterajui oleh Pengurus Besar dan diuruskan melalui Majlis Pengurusan Sekolah Islam Aman (MPSIA) dan Pejabat Pendidikan Aman.