:
Pengenalan%20Tadika%20Iman


LATAR BELAKANG

Tadika Iman mula ditubuhkan pada tahun 1989. Idea ini berikutan permintaan semasa di kalangan ahli usrah Jemaah Islam Malaysia (JIM). Tadika Iman yang ditubuhkan ini adalah rangkaian Tadika Amal, Kuala Lumpur yang mana kurikulum dan sukatan pelajaran Tadika Amal Kuala Lumpur digunapakai di Tadika Iman.

Tadika Iman mula bertapak di Lorong Pak Dir, Jalan Bayam dan beroperasi dari jam 8.00 pagi hingga 12.30 tengahari. Tadika Iman dinaungi oleh sekumpulan mereka yang berwibawa sebagai ahli lembaga yang berkhidmat tanpa bayaran. Ia merupakan suatu dakwah. Antara mereka yang pernah menaungi Tadika Iman ialah Dr. Hafidzah Mustakim, Pn. Asiah, Pn. Mariah bt. A. Kadir, Pn. Wan Aisyah bt Wan Ibrahim, Pn. Wan Jamaliah, Pn. Nik Eliani bt. Nik Nawi dan ramai lagi.

Di atas permintaan ramai, Tadika Iman 2 yang berlokasi di Jalan Guchil Bayam dibuka pada tahun 1999. Pelajar-pelajar Tadika Iman 2, Guchil adalah kebanyakannya terdiri daripada anak-anak jururawat dan doktor yang bertugas di Hospital USM serta penduduk sekitar. Pada tahun kedua penambahan pelajar adalah seramai 82 orang. Pada tahun 2003 hingga 2005 pelajar tadika mula mengalami kemerosotan kerana tadika-tadika lain mula tumbuh bagaikan cendawan selepas hujan dan ditambah pula dengan adanya PASTI dan Tabika Kemas yang jauh lebih murah bayaran yurannya.

Saluran pendidikan Tadika Iman tidak terhenti setakat umur 6 tahun. Memandangkan keperluan semasa dan untuk memenuhi kehendak pelanggan. Tadika Iman 3, Telipot yang beroperasi di Lorong Merican berhadapan dengan Sekolah Rendah Islam Aman ditubuhkan pada tahun 2000 dengan jumlah pelajar seramai 52 orang. Pada tahun kedua penambahan pelajar Tadika Iman 3, Telipot adalah berjumlah seramai 75 orang. Pada tahun 2003, Tadika Iman telah dinaungi sepenuhnya di bawah Pusat Pendidikan Aman dan namanya Tadika Iman 3, Telipot telah ditukar kepada Tadika Iman 1, Telipot dan di Guchil sebagai Tadika Iman 2, Guchil.

VISI

Menjadi sebuah institusi pendidikan terunggul di Kelantan

MISI

Menyediakan sistem pendidikan Islam untuk melahirkan generasi yang berilmu, beriman, beramal soleh, berakhlak mulia, berketerampilan dan menyumbang kepada pembinaan negara

MATLAMAT
Menyediakan kanak-kanak dengan persiapan dan persediaan untuk mencapai matlamat insan soleh dalam hidup dan kehidupan mereka sesuai dengan firman Allah S.W.T dalam surah Al - Baqarah: 30 & surah Az - Zariyat: 56

Mendidik & Membimbing kanak-kanak ke arah pencapaian potensi cemerlang dalam semua aspek pertumbuhan diri (rohani, fizikal, kognitif, sosio-ekonomi dan estetika) berpandukan Al - Quran dan As - Sunnah untuk melahirkan insan-insan yang sempurna, sesuai dengan martabat keinsanan itu sendiri.

Firman Allah dalam Surah At Tin: 4

"Sesungguhnya, kami telah mencipta manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya."

LAGU TADIKA IMAN

Sa... sa... satu sa... sayang Allah,

Du... du... dua sayang Rasulullah,

Ti... ti... tiga sayang ibu ayah,

Saya sayang, sayang semuanya.

Saya sayang kawan-kawan,

Saya sayang Tadika Iman,

Saya rindu pada guru,

Mengajarku tak pernah jemu.

Ajar kami mengenal Allah,

Ajar kamu sunnah Rasulullah,

Tunjukilah akhlak mulia,

Agar jadi insan sempurna.

Terima kasih wahai guru,

Pimpinlah tanganku ini,

Di sinilah taman syurga,

Doakanlah kami berjaya.