:
AKTA PERLINDUNGAN DATA PERIBADI

Notis Perlindungan Data Peribadi

Pusat Pendidikan Aman

 

Tarikh Kuat Kuasa: 25 November 2025

Tarikh Kemas Kini:

 

1. Pengenalan

Notis Perlindungan Data Peribadi ini ('Notis') dikeluarkan menurut Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 (Akta 709) ('Akta'). Pendidikan Aman Sdn. Bhd. adalah pemilik kepada Pusat Pendidikan Aman (‘PPA’), sebuah rangkaian institusi pendidikan yang merangkumi;

a. Taska Aman]

b. Tadika Iman 1

c. Tadika Iman Junior

d. Sekolah Rendah Islam Aman Kota Bharu

e. Sekolah Rendah Islam Aman Wakaf Bharu

f. Sekolah Rendah Islam Aman Machang

g. Sekolah Menengah Islam Aman Aman

PPA mengiktiraf kepentingan melindungi privasi, keselamatan dan ketepatan Data Peribadi anda. PPA komited untuk memastikan semua data yang dikumpul, diproses dan disimpan oleh kami dikendalikan secara beretika serta mematuhi peruntukan Akta.

Notis ini terpakai kepada semua pihak berkaitan termasuk ibu bapa, penjaga, murid, kakitangan, calon pekerja, pelajar latihan industri, dan mana-mana individu yang berurusan dengan PPA.

 

2. Takrif Data Peribadi

‘Data Peribadibermaksud sebarang maklumat yang berkaitan secara langsung atau tidak langsung dengan seorang individu yang boleh dikenal pasti atau boleh dikenal pasti daripada maklumat tersebut sama ada secara bersendirian atau digabungkan dengan maklumat lain. Data Peribadi termasuk, tetapi tidak terhad kepada;

  • maklumat identiti seperti nama, nombor kad pengenalan, nombor pasport, nombor pengenalan cukai (TIN), tarikh lahir, tahun lahir, umur, tempat lahir, jantina, bangsa, agama, kewarganegaraan dan status perkahwinan;
  • maklumat hubungan seperti alamat kediaman, alamat surat-menyurat, nombor telefon rumah, nombor telefon bimbit, nombor telefon pejabat dan alamat e-mel;
  • maklumat keluarga seperti nama dan butiran ibu bapa, penjaga, adik-beradik, waris, hubungan keluarga serta maklumat yang disediakan untuk tujuan kecemasan;
  • maklumat pekerjaan seperti jawatan, majikan, alamat tempat kerja, pengalaman kerja, gaji, kelayakan profesional dan maklumat lain yang berkaitan;
  • maklumat akademik seperti kelayakan pendidikan, institusi pendidikan, kursus, keputusan peperiksaan, CGPA/gred, rekod persekolahan atau universiti, serta maklumat lain yang berkaitan;
  • maklumat kesihatan seperti penyakit, alahan, keadaan kesihatan atau maklumat perubatan lain yang berkaitan;
  • maklumat kewangan seperti maklumat gaji, butiran bank atau maklumat lain yang berkaitan (jika berkenaan);
  • maklumat identifikasi tambahan seperti lesen memandu, jenis lesen dan pemilikan kenderaan;
  • sebarang dokumen atau fail yang mengandungi maklumat peribadi seperti gambar, imej, rakaman video, resume, dokumen sokongan atau data digital lain yang diserahkan kepada organisasi.

 

3. Sumber Pengumpulan Data

PPA mengumpul Data Peribadi melalui pelbagai kaedah dan saluran termasuk, tetapi tidak terhad kepada:

  • borang pendaftaran pelajar, borang kemasukan, borang maklumat ibu bapa/penjaga serta dokumen sokongan seperti sijil lahir, kad pengenalan, rekod akademik dan rekod kesihatan;
  • borang permohonan kerja, resume, sijil akademik, maklumat rujukan dan dokumen sokongan lain yang dikemukakan oleh calon;
  • platform digital seperti sistem pengurusan sekolah, borang dalam talian, e-mel, aplikasi penghantar mesej, serta penggunaan storan awan bagi tujuan penghantaran atau penerimaan dokumen;
  • aktiviti, program dan pendaftaran acara, termasuk pertandingan, sukan, lawatan, kem, kokurikulum dan program anjuran sekolah;
  • interaksi rasmi secara fizikal atau digital dengan pihak sekolah, pejabat PPA atau wakil yang sah;
  • rakaman CCTV, gambar atau video yang diambil semasa program rasmi, operasi sekolah atau atas tujuan keselamatan;
  • maklumat daripada pihak ketiga seperti institusi pendidikan terdahulu, majikan, agensi berkaitan atau pihak berkuasa termasuk Kementerian Pendidikan Malaysia.

 

4. Tujuan Pengumpulan dan Pemprosesan Data

  • Mengurus hal akademik dan pentadbiran sekolah termasuk kemasukan pelajar, rekod akademik, dan komunikasi rasmi.
  • Mengurus hubungan dengan ibu bapa dan penjaga penyampaian notis, laporan prestasi, serta makluman aktiviti sekolah.
  • Mengurus pengambilan pekerja dan urusan sumber manusia termasuk permohonan kerja, penggajian, pembayaran gaji dan penilaian prestasi.
  • Melaksanakan aktiviti dan program sekolah termasuk sukan, kem, pertandingan dan aktiviti kokurikulum.
  • Mengurus urusan kewangan dan yuran sekolah termasuk pengeluaran invois, penyata akaun, serta penghantaran makluman atau peringatan berkaitan bayaran melalui e-mel atau aplikasi penghantar mesej.
  • Menjalankan tujuan keselamatan dan pematuhan undang-undang.
  • Menjalankan tujuan promosi dan komunikasi rasmi sekolah, termasuk penggunaan gambar atau video bagi penerbitan, media sosial, laman sesawang, dan bahan promosi rasmi PPA.
  • Menjalankan laporan, penyelidikan serta statistik dalaman.

 

5. Penzahiran Data Peribadi

Data Peribadi anda mungkin didedahkan kepada pihak-pihak berikut bagi tujuan yang dinyatakan dalam Notis ini dan bagi tujuan operasi PPA:

  1. Kementerian dan agensi kerajaan, termasuk tetapi tidak terhad kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Jabatan Agama Islam Negeri, Lembaga Peperiksaan, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), serta mana-mana pihak berkuasa yang mempunyai kuasa di sisi undang-undang.
  2. Organisasi rangkaian sekolah dan badan induk seperti tetapi tidak terhad kepada Yayasan Pendidikan Islam Aman (YPIA), Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM), Musleh Integrated Education Berhad (MIEB), atau mana-mana organisasi yang berkaitan dengan pengurusan, operasi pentadbiran dan pendidikan PPA.
  3. Penyedia sistem dan perkhidmatan teknologi yang membantu PPA mengurus data, komunikasi dan operasi, termasuk penyedia perisian, sistem pengurusan sekolah serta penyedia storan awan yang digunakan untuk penyimpanan atau perkongsian dokumen. 
  4. Pihak kewangan dan insurans, termasuk bank, syarikat takaful, agensi kredit atau mana-mana institusi kewangan yang berkaitan dengan urusan yuran, pembayaran, gaji atau perlindungan pelajar dan staf.
  5. Kontraktor atau pihak ketiga yang dilantik oleh PPA bagi menyokong operasi harian, keselamatan, latihan, pembangunan profesional, pengurusan acara, dokumentasi, atau tujuan pemasaran rasmi PPA.

Semua pihak yang menerima Data Peribadi ini tertakluk kepada kewajipan menjaga kerahsiaan dan keselamatan data, dan hanya akan menggunakan data tersebut mengikut tujuan yang dibenarkan oleh PPA.

 

6. Pemindahan Data ke Luar Malaysia

Data Peribadi anda mungkin dipindahkan, disimpan atau diproses di luar Malaysia apabila menggunakan penyedia perkhidmatan luar, perisian berasaskan awan (cloud-based services) atau sistem lain yang mempunyai pusat data di luar negara. Pemindahan sedemikian hanya dilakukan apabila perlu dan dengan perlindungan sewajarnya mengikut kehendak Akta.

PPA tidak akan mendedahkan Data Peribadi anda kepada mana-mana pihak yang tidak berkaitan, melainkan dengan kebenaran anda atau jika dikehendaki oleh undang-undang.

 

7. Keselamatan Data

PPA mengambil langkah keselamatan fizikal, teknikal dan pentadbiran yang munasabah bagi melindungi Data Peribadi anda daripada capaian tidak dibenarkan, kehilangan, kemusnahan, pendedahan atau penyalahgunaan. Langkah-langkah ini termasuk kawalan akses, penggunaan kata laluan, penyimpanan fail secara selamat, langkah keselamatan rangkaian, serta penggunaan penyulitan dan perlindungan data apabila sesuai.

PPA juga memastikan bahawa hanya individu yang mempunyai keperluan operasi dibenarkan mengakses data, serta mewajibkan semua kakitangan dan pihak ketiga yang terlibat untuk mematuhi dasar kerahsiaan dan keselamatan data.

Anda turut bertanggungjawab menjaga kerahsiaan sebarang kata laluan, akaun log masuk atau maklumat akses yang diberikan kepada anda, dan memastikan ia tidak didedahkan kepada mana-mana pihak yang tidak dibenarkan.

 

8. Tempoh Penyimpanan Data

PPA akan menyimpan Data Peribadi anda hanya selama mana ia diperlukan bagi tujuan pengumpulan data dan selaras dengan keperluan undang-undang, operasi serta polisi dalaman PPA.

  • Data Murid & Ibu Bapa / Penjaga - disimpan sepanjang tempoh pengajian dan sehingga 15 tahun selepas tamat persekolahan bagi tujuan rujukan akademik, permohonan sekolah lanjutan, audit, dan rekod operasi.
  • Data Staf / Guru - disimpan sepanjang tempoh perkhidmatan dan sehingga 7 tahun selepas penamatan perkhidmatan bagi tujuan rujukan sumber manusia, audit, pematuhan undang-undang dan keperluan rekod.
  • Data Permohonan Kerja (Calon Tidak Berjaya) - dilupuskan dalam tempoh satu tahun dari tarikh keputusan permohonan.
  • Data Kewangan - termasuk resit, penyata, yuran, gaji dan rekod pembayaran akan disimpan mengikut keperluan undang-undang percukaian dan audit.
  • Data CCTV - disimpan selama 30 hingga 90 hari, kecuali jika diperlukan untuk tujuan keselamatan atau siasatan.
  • Data Digital Operasi - data digital berkaitan rekod akademik, pentadbiran dan operasi akan disimpan sehingga 15 tahun sebelum dilupuskan secara selamat.

Pengecualian Gambar, Video & Bahan Promosi

Gambar, video, atau bahan multimedia yang telah diterbitkan atau disiarkan di platform rasmi PPA tidak tertakluk kepada tempoh penyimpanan ini dan boleh disimpan untuk tujuan dokumentasi sejarah, arkib atau rekod organisasi.

 

9. Hak Anda

Anda mempunyai hak di bawah Akta untuk:

  • meminta akses kepada Data Peribadi anda;
  • meminta pembetulan atau pengemaskinian sekiranya data tersebut tidak tepat, tidak lengkap atau tidak terkini;
  • menarik balik persetujuan terhadap pemprosesan Data Peribadi anda, tertakluk kepada keperluan undang-undang dan operasi.

Semua permohonan hendaklah dibuat secara bertulis kepada PPA, dan PPA berhak meminta pengesahan identiti bagi tujuan keselamatan. PPA akan memberikan maklum balas dalam tempoh 2130 hari bekerja, tertakluk kepada kerumitan permohonan.

PPA juga berhak untuk menolak permohonan tertentu, termasuk tetapi tidak terhad kepada:

  • permohonan yang boleh mendedahkan data pihak ketiga;
  • permintaan yang menjejaskan keselamatan pelajar atau operasi sekolah;
  • rekod peperiksaan atau rekod rasmi yang tidak boleh diubah;
  • permohonan yang tidak munasabah, berulang atau melampau;
  • permohonan yang bercanggah dengan peruntukan undang-undang.

Anda memahami bahawa penarikan balik persetujuan mungkin menjejaskan keupayaan PPA untuk menyediakan perkhidmatan tertentu yang memerlukan Data Peribadi anda. Penarikan balik persetujuan tidak akan menjejaskan pemprosesan data yang diperlukan oleh undang-undang, termasuk urusan dengan KPM, Jabatan Agama, LHDN, atau mana-mana pihak berkuasa yang berkenaan.

PPA juga berhak mengenakan fi nominal untuk permintaan akses kepada dokumen tertentu seperti mana yang dibenarkan oleh Akta.

 

10. Perubahan Notis

PPA berhak untuk mengemas kini, meminda atau memperbaiki Notis ini dari semasa ke semasa bagi memenuhi keperluan operasi, perubahan undang-undang, atau penambahbaikan dasar perlindungan data. Sebarang perubahan akan berkuat kuasa sebaik sahaja versi baharu disiarkan di laman sesawang rasmi PPA.

Anda digalakkan untuk menyemak Notis ini secara berkala bagi memastikan anda memahami dasar terkini berhubung pemprosesan Data Peribadi anda. Dengan terus berurusan, berkomunikasi atau menggunakan perkhidmatan PPA selepas sebarang perubahan dibuat, anda dianggap telah menerima dan bersetuju dengan terma yang dikemas kini.

Sekiranya terdapat percanggahan antara terjemahan, versi Bahasa Melayu Notis ini akan diguna pakai.

 

11. Hubungi Kami

Pusat Pendidikan Aman.

E-mel: ppaman@aman.edu.my

Telefon: 09 - 741 3557

WhatsApp: 011 - 2636 1457 / 010 - 770 3557

Alamat: Lot 216, Lorong Merican, Jalan Telipot, 15150 Kota Bharu, Kelantan.

 

Pusat Pendidikan Aman dan semua Institusi Pendidikan dalam rangkaiannya dimiliki oleh Pendidikan Aman Sdn. Bhd [No Syarikat: 199801017342 (473471-U)]